Erik Menendez dan Lyle Menendez,

CALIFORNIA – Dua beradik lelaki yang pernah menggemparkan negara kerana membunuh ibu bapanya secara kejam akhirnya ‘bersatu’ di dalam penjara yang sama selepas hampir 20 tahun terpisah.

Erik Menendez, 47 dan Lyle Menendez, 50, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas kes pembunuhan yang berlaku pada tahun 1989.

Ketika insiden itu, Erik dan Lyle, masing-masing berusia 18 dan 21 tahun.

Dua beradik itu menembak mati bapa dan ibunya, Jose dan Kitty Menendez yang kaya-raya di kediaman mereka di Beverly Hill.

Mereka dikatakan menangis selepas pertemuan kali pertama di penjara San Diego pada Rabu lalu.

Kali terakhir mereka berjumpa pada tahun 1996.

“Mereka kini boleh berinteraksi,” kata jurucakap penjara, Terry Thornton.

Lyle (kiri) dan d Erik Menendez semasa perbicaraan di mahkamah pada tahun 1989. foto Agensi

Pendakwa raya yang berhujah semasa perbicaraan berprofil tinggi itu mendakwa kedua-duanya telah membunuh ibu bapa mereka untuk mewarisi harta yang berjuta-juta dolar.

Bagaimanapun, peguam bela mereka mendakwa dua beradik itu bertindak demikian kerana dendam akibat penderaan seksual, tetapi tidak ada isu pencabulan yang pernah dibuktikan di mahkamah.

Bapa mereka, yang berusia 45 tahun ketika itu telah ditembak sebanyak enam kali menggunakan senapang yang dibeli oleh dua beradik itu sehari sebelum hari kejadian.

Manakala ibu mereka pula ditembak dengan 10 kesan tembakan.

Mereka ditangkap selepas teman wanita ahli psikologi yang merawat Erik Menendez membuat laporan polis mendakwa lelaki itu telah membuat ancaman fizikal terhadap doktor.

Semasa sesi bersama doktor, mereka telah membincangkan kes pembunuhan dan kemudian kes dirujuk kepada mahkamah.

Perbicaraan bermula pada tahun 1993 tetapi dua juri tidak dapat memutuskan kes berkenaan pada tahun 1994 sebelum kes itu dibatalkan pada tahun berikutnya.

Kedua-dua mereka dipisahkan semasa penahanan selepas seorang detektif yang menyiasat pembunuhan tersebut berkata mereka mungkin bersekongkol untuk melarikan diri jika ditempatkan bersama.

Pada Februari 2018, Lyle Menendez dipindahkan dari Penjara Negeri Mule Creek di California Utara ke Kemudahan Pemulihan San Francisco’s RJ Donovan selepas tahap keselamatannya diturunkan.

Penjara itu menempatkan 3,900 tahanan lelaki, tetapi kedua-dua beradik itu tidak ditempatkan pada unit yang sama serta tidak dapat berinteraksi antara satu sama lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast