Home Dunia Felcra jalin 9 kerjasama sektor perladangan, hartanah, agro

Felcra jalin 9 kerjasama sektor perladangan, hartanah, agro

Felcra

KUALA LUMPUR – Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra) menjalin sembilan kerjasama strategik baharu yang bakal mengembangkan sayap organisasi korporatnya, Felcra Bhd, dalam tiga sektor utama — perladangan, hartanah dan perniagaan agro.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kerjasama strategik yang dijalin sejajar dengan pelan perniagaan syarikat ke arah sasaran memberi limpahan manfaat sosial kepada lebih 117,000 peserta menerusi 159 koperasi peserta Felcra di seluruh negara.

Zulkarnain berkata, bagi sektor perladangan iaitu sektor utama Felcra, ia melibatkan pembangunan tanah kepunyaan peserta dan Felcra, dan projek perladangan ke arah perkilangan bagi memproses minyak sawit mentah (MSM).

Selain MSM, Felcra juga sedang membangunkan ladang-ladang kelapa dan jagung sebagai usaha mengurangkan import tahunan kelapa yang mencecah 100 juta biji dan import jagung untuk penternakan yang mencecah enam bilion setahun.

Beliau berkata sektor hartanah turut dibangunkan kerana terdapat lokasi tanah ladang Felcra yang kini lebih sesuai untuk pembangunan hartanah, terutamanya kediaman mampu milik dan bangunan-bangunan komersial.

“Contoh adalah seperti apa yang telah berlaku kepada tanah Felcra berkeluasan 23.47 hektar di Jasin, Melaka, yang kini bersebelahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jasin. Maka ia tidak lagi sesuai untuk perladangan, tetapi lebih sesuai untuk pembangunan kediaman dan komersial,” kata beliau pada sidang akhbar selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima institusi penyelidikan dan empat syarikat korporat di sini, hari ini.

Bagi perniagaan agro pula, Felcra berkolaborasi dengan ‘Co-op Centre of Thailand’ dari Thailand, sejajar dengan mandatnya (Felcra) untuk membangunkan gedung makanan negara.

“Co-op Centre of Thailand mempunyai sinergi dengan Felcra dalam bidang pertanian berteknologi tinggi. Seperti untuk produk tenusu, susu boleh dipadatkan menjadi sebiji pil. Kita harap agar akan dapat belajar sesuatu yang baharu dan ambil peluang melaksanakannya.

“Ia juga satu peluang untuk membangunkan gedung makanan negara menerusi hasil tani,” kata beliau.

Selain dengan Co-op Centre of Thailand, majlis pertukaran MoU Felcra hari ini turut melibatkan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Kuala Lumpur, Institut Penyelidikan dan Perhutanan Malaysia, Kolej Universiti Agrosains Malaysia, Kolej Universiti Islam Melaka, Pacific Oils & Fats Industries Sdn Bhd dan Destini Engineering Technologies Sdn Bhd.

Zulkarnain berkata bagi kerjasama strategik dalam bidang perniagaan, tempoh MoU adalah sekitar enam bulan hingga setahun.

“MoU bakal bertukar kepada perjanjian bagi memantapkan keberkesanan dan kerjasama.

“Bagi pembangunan modal insan pula, ia berkemungkinan memerlukan masa yang panjang dan berterusan, dan ia juga berpotensi dikembangkan ke pelbagai cabang,” tambah beliau.

Felcra mempunyai tanah ladang berkeluasan 257,078 hektar di seluruh negara yang sedang dimajukan dengan 1,700 projek. – MalaysiaGazette