Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan, Malaysia Airlines, Firefly dan MasWings tidak akan mengenakan caj terhadap pertukaran penerbangan bagi membolehkan pelanggannya membuang undi pada 9 Mei ini.

Menurut satu kenyataan, pengecualian tersebut adalah bagi semua jenis tiket untuk penerbangan pada 8 Mei hingga 10 Mei depan.

“Hanya satu pertukaran dibenarkan dan ia perlu dilakukan dalam tempoh 10 hari daripada sekarang,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, penumpang dibenarkan menangguhkan tarikh penerbangan mereka sehingga dua bulan daripada tarikh asal perjalanan.

Kata kenyataan itu, pelanggan boleh mengubah tarikh perjalanan mereka dengan mengunjungi pejabat jualan tiket syarikat penerbangan terbabit atau menghubungi pusat panggilan Malaysia Airlines/MasWings di talian 1300-88-3000 atau pejabat jualan tiket Firefly di talian 603 7845 4543. – MalaysiaGazette