Home Utama Tiada kompromi hal kedaulatan negara – Najib

Tiada kompromi hal kedaulatan negara – Najib

Najib melihat senjata ketika melawat pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan negara dan rakyat dapat terus hidup dalam keadaan aman serta harmoni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan itu, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan negara sehingga mengancam kestabilan negara.

“Bila berbicara mengenai bidang pertahanan dan keselamatan, tentu sekali kita semua sedar isu yang kita hadapi hari ini adalah lebih mencabar dan jauh berbeza berbanding dahulu.

“Kerajaan BN pimpinan saya telah mengambil pelbagai langkah termasuk meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana kita bertekad untuk terus memastikan rakyat Malaysia dilindungi dan pasukan keselanatan kita dapat berkhidmat dan bekerja dengan bebas,” katanya dalam catatan di laman blog najibrazak.com, hari ini.

Semalam, beliau melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Kuala Lumpur.

Mengenai Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, ia bertujuan untuk melindungi rakyat dari tempias jesan dan akibat laporan berita palsu yang semakin berleluasa.

Katanya, berita palsu dan tidak benar itu mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar.

“Sebagaimana yang dapat kita lihat di seluruh dunia, di mana berita palsu dan tidak benar digunakan sebagai alat campur tangan proses demokrasi oleh kuasa luar, dan yang menghairankan perkara ini disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang.

“Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata.

“Alhamdulillah, melalui usaha yang telah kerajaan BN di bawah kepimpinan saya laksanakan, kita berjaya memelihara kedaulatan, keamanan dan keharmonian di negara yang kita cintai ini,” katanya.

Namun, jelas Najib, malang sekali usaha itu sedikit sebanyak diganggu oleh tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan meminta campur tangan negara asing kerana tamakkan kuasa.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya dan kepimpinan BN tidak akan sekali-kali berkompromi hal kedaulatan negara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan BN juga sedar menjaga keselamatan negara adalah usaha berterusan dan tidak boleh leka walau sesaat.

Oleh itu, kata beliau, dalam Manifesto BN terdapat banyak usaha dan inisiatif yang akan dilaksanakan jika terus diberi mandat, antaranya, menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia – AKSEM dan AKSEMNET.

“Mentranformasikan pasukan elit khas polis seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette