Majlis pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) disempurnakan Pengerusi BN negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dihadiri pemimpin parti-parti komponen serta kira-kira 5,000 ahli BN di Seremban hari ini. Foto Laman Rasmi Facebook Khairy Jamaluddin.

SEREMBAN –  Dua teras dan 18 inisiatif menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dalam manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bertemakan ‘Bukti, Bukan Sekadar Janji’, ‘Teras Memakmurkan Negeri’ dan ‘Mensejahterakan Rakyat’ dilancarkan di hadapan kira-kira 5,000 ahli BN  di sini hari ini.

Majlis pelancaran manifesto itu disempurnakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dihadiri pemimpin parti-parti komponen serta kira-kira 5,000 ahli BN di sini hari ini.

Di bawah teras ‘Memakmurkan Negeri’ tumpuan diberi kepada sembilan inisiatif iaitu ekonomi, pelaburan, agama Islam, kesihatan, pendidikan, pelancongan pertanian, perkhidmatan awam dan infrastruktur.

Bagi teras ‘Mensejahterakan Rakyat’ pula mengandungi sembilan inisiatif iaitu perumahan, kesihatan, sukan, Orang Asli, belia, wanita, kemiskinan, keselamatan dan alam sekitar.

Foto Laman Rasmi Facebook Khairy Jamaluddin.

Manifesto bagi tempoh tahun 2018 hingga tahun 2022 itu juga menawarkan Skim Mensejahterakan Rakyat antaranya cukai tanah dan pintu tidak  dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Skim itu turut menawarkan tambahan RM50 kepada skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), sumbangan caruman insurans tabika kerajaan serta penyediaan pusat asuhan kanak-kanak di agensi kerajaan.

BN negeri turut menjanjikan bantuan khas RM550 kepada rakyat Negeri Sembilan yang mendirikan rumahtangga, khairat kematian RM1,000 dan menyediakan pusat dialisis rakyat dengan kadar bayaran murah. – MalaysiaGazette