Home Ekonomi NS komited tarik pelaburan RM1b setahun

NS komited tarik pelaburan RM1b setahun

Kawasan industri di Senawang, Seremban.

SEREMBAN – Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing dan tempatan sebanyak RM27.42 bilion sejak 2004 hingga 2017.

Menurut laporan dalam portal kerajaan Negeri Sembilan, jumlah itu membabitkan 489 projek yang telah diluluskan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, 58 peratus atau 265 terdiri daripada projek baharu manakala 224 projek lagi meliputi pembesaran operasi.

“Pelabur asing merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah pelaburan di negeri ini iaitu sebanyak 71 peratus atau RM18.13 bilion, manakala pelabur tempatan pula menyumbang RM9.29 bilion.”

“Korea Selatan merupakan pelabur asing terbesar dengan nilai pelaburannya sebanyak RM5 bilion, diikuti Jepun (RM1.8 bilion), China (RM1.2 bilion), Singapura (RM1.1 bilion) dan UAE sebanyak RM1.0 bilion,” menurut laporan itu.

Lima jenis industri utama di negeri ini ialah elektrik dan elektronik dengan jumlah pelaburan RM4.9 bilion dan peluang pekerjaan 7,730, diikuti bahan mineral bukan logam sebanyak RM3.4 bilion dengan 3,555 peluang pekerjaan, bahan kimia dan produk berasas kimia (RM2.8 bilion dengan 2,843 peluang pekerjaan).

Selain itu, tekstil dan produk tekstil menyumbang RM2.5 bilion dengan 7,050 peluang pekerjaan dan automotif dan peralatan pengangkutan dengan jumlah pelaburan RM2.5 bilion dan menyediakan 4,482 peluang pekerjaan.

Laporan itu menyebut antara syarikat besar yang membuat pelaburan di negeri ini ialah Coca-Cola Bottlers (M) Sdn Bhd dan Messier Bugatti Dowty (M) Sdn Bhd yang merupakan kilang pengeluar ‘carbon brake’ pertama di Asia.

Syarikat lain ialah SAFRAN dari Perancis yang merupakan penggiat utama di dunia bagi pengeluaran produk pendaratan pesawat dan sistem brek, dan Kayaku Safety Systems (M) Sdn Bhd dari Jepun yang merupakan antara pelabur utama di dunia bagi pengeluaran produk inflator beg udara kenderaan dan penjanan gas mikro dalam tali pinggang keledar.

Selain itu, Ajinomoto Bhd dari Jepun, Novugen Pharma (M) Sdn Bhd (UAE), Auric Pacific (Singapura), Sapura Industrial Bhd (Malaysia) dan Pan Asian Dairies (M) Sdn Bhd dari UAE merupakan antara syarikat yang dijangkakan membuat pelaburan di negeri ini tahun ini atau tahun hadapan. – MalaysiaGazette