Home Dunia Polis siasat kanak-kanak 12 tahun kembara ke Bali seorang diri

Polis siasat kanak-kanak 12 tahun kembara ke Bali seorang diri

AUSTRALIA – Polis Australia sedang menyiasat bagaimana seorang budak lelaki 12 tahun mengembara ke Bali seorang diri selepas bertengkar dengan ibu bapanya dan menggunakan kad kredit mereka.

Polis Australia mengatakan mereka akan mengkaji bagaimana seorang budak lelaki berumur 12 tahun mengembara ke Bali selepas dia bertengkar dengan ibu bapanya dan menggunakan kad kredit mereka.

Kanak-kanak lelaki dari Sydney itu menempah penerbangan dan penginapan melalui dalam talian selepas ibu bapanya memutuskan untuk membatalkan percutian ke pulau Indonesia itu.

Dia terbang ke Bali melalui Perth dengan menggunakan pasport dan identiti sekolahnya.

Pihak berkuasa Australia berkata, kanak-kanak itu ditemui di Bali pada 17 Mac.

Polis Persekutuan Australia (AFP) mengesahkan dia telah dilaporkan hilang sembilan hari lebih awal selepas meninggalkan rumah dan gagal hadir ke sekolah.

Bagaimanapun, AFP tidak mengatakan berapa hari kanak-kanak itu berada di Bali.

Budak lelaki itu telah mendaftar masuk sendiri ke terminal di Sydney dan terbang ke Perth sebelum ke Bali, menurut laporan Nine Network.

Dia pernah disoal sekali oleh pegawai penerbangan di Perth.

“Mereka hanya meminta identiti pelajar dan pasport untuk membuktikan saya berusia lebih dari 12 tahun dan saya di sekolah menengah. Ia hebat kerana saya mahu meneruskan pengembaraan,” katanya dalam program A Current Affairs.

Tambah kanak-kanak itu, beliau dibenarkan masuk bilik hotelnya di Bali dengan memberitahu kakitangan tempat penginapan yang dia sedang menunggu kakaknya tiba.

Polis Australia berkata, mereka dimaklumkan mengenai kehadirannya di Bali pada 17 Mac. Dia diletakkan di bawah jagaan perlindungan sebelum bersatu semula dengan ibu bapanya. – MalaysiaGazette