Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Sentimen pengundi di Semporna begitu kuat memihak kepada penyandangnya Datuk Seri Shafei Apdal yang sekian lama berjasa di kawasan Parlimen itu, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Sehubungan itu beliau menjangkakan laluan BN untuk mendapatkan kerusi tersebut sangat sukar dan nipis walaupun dengan usaha gigih.

Walaupun telah berhijrah menjadi pemimpin pembangkang, tambah Jeneri, Shafei tetap diterima rakyat.

“Saya percaya pengundi di situ tidak akan mudah lupa jasa beliau sebagai wakil rakyat berdasarkan sambutan yang kita lihat lebih setahun terhadapnya sebagai Presiden Warisan dia beri tentangan sengit untuk BN,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Shafei yang menjadi Ahli Parlimen Semporna lebih 20 tahun yang juga pernah menyandang jawatan menteri disifatkan Jeneri sebagai pemimpin yang mempunyai aura pencabar yang perlu digeruni.

“Semporna kerusi paling panas untuk BN, dan Shafie bukan calang-calang pemimpin,”katanya.

BN meletakkan Datuk Ramlee Marahaban sebagai calon yang akan berhadapan dengan Shafie di Semporna pada Pilihan Raya Umu ke-14.

Ramlee merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya.

Mengulas tentang pertukaran calon Parlimen Kota Belud, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggantikan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilihat tidak akan memberi kesan negatif.

Sebaliknya kata Jeneri, Salleh yang sebelum ini ADUN Usukan mempunyai keupayaan mengekalkan kerusi Parlimen itu dan pengundi di situ menerimanya dengan baik.

“Saya percaya tidak ada cabaran besar untuk Datuk Salleh di kawasan terbabit kerana beliau sebagai ahli poltik terbukti keupayaan dan kemampuannya maka pengundi di situ sudah pasti akan memberi keyakinan.

“Salleh bukan asing di kawasan itu dan diterima baik masyarakat di situ. Dia dikenali pengndi terbabit,” katan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu. -MalaysiaGazette