Home Nasional Tren ke Subang Skypark tingkat keselesaan penumpang

Tren ke Subang Skypark tingkat keselesaan penumpang

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan terus Stesen KL Sentral dengan Subang Skypark Subang sudah mula beropeasi pada hari ini.

Ia merupakan satu lagi sejarah kejayaan negara dalam pembangunan rangkaian perkhidmatan rel di lapangan-lapangan terbang utama Lembah Kelang selepas KLIA dan klia2.

Perkhidmatan tren itu melibatkan perjalanan sejauh 24 kilometer dari KL Sentral dan berhenti di Subang Jaya sebelum meneruskan ke Subang Skypark.

Dengan kemudahan pengangkutan itu, perjalanan penumpang ke Subang Skypark hanya mengambil masa selama 28 minit, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Eric See-To.

“Di KL Sentral, para penumpang boleh mendapatkan pertukaran perkhidmatan pengangkutan lain seperti KTM ETS, KTM Komuter Seremban, KTM Komuter Pelabuhan Klang, LRT Kelana Jaya Line, selain KL Monorel dan MRT Sungai Buloh-Kajang.

“Penumpang juga boleh menukar pengangkutan mereka di Subang Jaya yang juga mempunyai sambungan dengan KTM Komuter Pelabuhan Kelang, juga LRT Kelana Jaya.

“Kemudahan ini semua merupakan cara Kerajaan Barisan Nasional mengubah kehidupan dan memperbaiki masalah legasi semasa pemerintahan 22 tahun Tun Dr. Mahathir,” katanya.

Tren itu akan bergerak setiap 15 minit semasa waktu puncak dan setiap setengah jam pada waktu-waktu biasa.

Sempena perkhidmatan baru itu, orang ramai ditawarkan menaiki tren berkenaan secara percuma untuk tempoh sebulan.

Perkhidmatan tren itu bakal memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa pengguna dan memudahkan kakitangan Skypark Subang itu dijangka boleh membawa 300 orang penumpang pada satu-satu masa.

See-To berkata, untuk perancangan masa depan, beberapa stesen akan dibangunkan di Glenmarie dan Sri Subang. – MalaysiaGazette