Calon Pakatan Harapan P.004 Langkawi, Tun Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Pakatan Harapan bercakap pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2018

PUTRAJAYA – Projek Transit Aliran Massa (MRT) hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kritikan daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, projek tersebut tidak perlu difikirkan untuk dilaksanakan kerana ia hanya sambungan kepada sistem rel yang sedia ada.

“Dalam negara tidak ada apa yang kita lihat Najib buat. Ada MRT itu sambungan kepada yang lama. Tak yah fikir, cuma nak kena sambung kena buat sahaja.

“Nak buat satu benda besar, belakang banyak tapi hutang banyak sampai RM60 bilion. Nak buat laluan keretapi Pantai Timur RM55 bilion. Projek keretapi laju RM60 bilion. Hutang sapa nak bayar?” soalnya dalam ceramah kempen PRU-14 di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mahathir masih mengulangi pengakuan bersalahnya kerana memilih Najib sebagai Perdana Menteri.

“Masa pilihanraya cukup baik. Bila jadi PM saya pun dia nak tangkap,” katanya lagi.

Dr. Mahathir juga mengulangi cabarannya supaya kerajaan supaya mendakwanya dengan menggunakan Akta Antiberita Tidak Benar dalam kes sabotaj kapal terbang.

Menurutnya, sekiranya kerajaan mahu mendakwa atas dakwaan berita palsu, belia bersedia untuk berdepan dengan tuduhan tersebut.

“Saya akan didakwa di bawah undang-undang baharu Akta Antiberita Tidak Benar, tak apa dakwalah.

“Kalau kita menang, buat apa mereka nak dakwa,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir pernah mendakwa pesawat peribadi yang membawanya ke Langkawi pada Khamis lalu disabotaj.

Malah beliau pada Jumaat lalu mendakwa juruterbang pesawat yang dinaikinya telah membatalkan penerbangan sejurus sebelum berlepas setelah mengesan beberapa kerosakan dan pembaikan segara tidak dapat dijalankan.

Beliau sepatutnya menaiki pesawat tersebut ke Langkawi bagi penamaan calon PRU-14.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan mengarahkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengemukakan laporan berhubung dakwaan Dr Mahathir itu.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya masih menunggu laporan daripada Ketua Polis Kedah, Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu.