Hassan Rouhani

TEHRAN – Presiden Hassan Rouhani memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan menyesal jika Donald Trump membatalkan perjanjian nuklear dengan Tehran

Rouhani mengeluarkan kenyataan itu menjelang 12 Mei – tarikh yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat sama ada akan menarik semula perjanjian atau sebaliknya.

Dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran, Rouhani berkata: “Jika Amerika membatalkan perjanjian nuklear, Amerika Syarikat akan menyesal”.

Malah, Rouhani berkata, Iran bersedia mempunyai rancangan sendiri bagi mengatasi sebarang keputusan yang dibuat oleh Trump.

Trump sebelum ini mengutuk perjanjian tersebut sebagai ‘gila’.

Dalam perjanjian 2015 – Amerika Syarikat, China, Rusia, Jerman, Perancis dan United Kingdom bersetuju untuk menarik semula sekatan ke atas Iran sebagai balasan menghentikan program senjata nuklear.

Perancis, United Kingdom dan Jerman sedang cuba memujuk Trump untuk mengekalkan perjanjian sedia ada.

Iran mempertahankan bahawa program nuklearnya adalah aman dan lantaran itu perjanjian tersebut tidak boleh ditolak.

Minggu lalu, Israel mendedahkan “fail nuklear rahsia” yang menunjukkan Iran telah menjalankan program senjata nuklear yang jarang ditemui sebelum tahun 2003 dan secara rahsia mengekalkan pengetahuan teknologi itu, melanggar perjanjian itu.

Iran pula menegaskan bahawa Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai pembohong dan mengatakan dokumen-dokumen yang dihasilkan adalah pengulangan tuduhan-tuduhan lama yang telah ditangani oleh Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette