Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-15 yang baharu malam ini.

Menurut sumber dari Istana Negeri, majlis akan berlangsung di Istana Negeri pada 9 malam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), parti Warisan pimpinan Mohd Shafie memenangi 21 kerusi manakala DAP dan PKR masing-masing memenangi enam dan dua kerusi.

Bagaimanapun kemenangan Warisan, DAP serta PKR yang menjalinkan kerjasama belum membolehkan parti-parti itu membentuk kerajaan kerana jumlahnya hanya 29 kerusi, kurang dua kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Namun, tindakan enam ADUN daripada Barisan Nasional iaitu empat daripada UMNO dan UPKO (dua) menyertai blok pembangkang pimpinan Warisan semalam mencukupi untuk membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah.

Pada 10 Mei lalu, Pengerusi BN negeri Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 untuk penggal keempat beliau selepas bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan dengan majoriti mudah 31 kerusi.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, di Istana Negeri, malam ini.

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di luar pekarangan kediamannya di sini hari ini berkata pihaknya masih menunggu makluman daripada Istana Negeri.

“Saya tidak tahu, tunggu makluman istana,” katanya.

— BERNAMA