Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers dipercayai turut memuat naik berhubung perkara itu yang berbunyi - Muafakat Itu Berkat, slogan yang telah digunakan sejak sekian lama iaitu semenjak tertubuhnya negeri Johor pada tahun 1885.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers dipercayai turut memuat naik berhubung perkara itu yang berbunyi - Muafakat Itu Berkat, slogan yang telah digunakan sejak sekian lama iaitu semenjak tertubuhnya negeri Johor pada tahun 1885.

ISKANDAR PUTERI – Baru mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor pada Sabtu, Datuk Osman Sapian sudah menerima teguran daripada rakan dalam Pakatan Harapan berhubung pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri ini.

Malah, kenyataan beliau mahu menukar slogan Muafakat Johor kepada Haparan Johor juga turut mendapat reaksi tidak baik.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers dipercayai turut memuat naik berhubung perkara itu yang berbunyi – Muafakat Itu Berkat, slogan yang telah digunakan sejak sekian lama iaitu semenjak tertubuhnya negeri Johor pada tahun 1885.

Berhubung pemberian peruntukan, Osman berkata, perkara tersebut belum dimuktamadkan dan menegaskan kerajaan negeri perlu untuk menjalankan kajian mengenainya.

“Bukan cakap kita tak bagi peruntukan kerana ia mesti diberi bagi pembangunan rakyat untuk kawasan mereka.

“Sesiapa boleh komen, dan dia tak tau apa saya cakap secara keseluruhannya. Kita akan menjalankan kajian akhir, kita ada formula kita, makna bukan kita terus tak beri, kita ada cara lain,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar di sini hari ini.

Ketua Pemuda PPBM yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PAN Johor yang jyga ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hasan semalam menegur berhubung kenyataan Osman yang tidak akan memberikan peruntukan kepada pembangkang di negeri ini.

Berhubung slogan Harapan Johor pula, Osman memberitahu, ia hanya lontaran idea beliau dan belum dimuktamadkan.

“Saya lontarkan sahaja, sekarang orang dah bagi info, it’s goodlah. Saya bukan artiskan, jadi terpulang orang nak komen, apa kehendak rakyat kerana daripada situ kita tahu macam mana respon dan secara tidak langsung kita dapat yang terbaik untuk dipilih,” katanya.

Sementara itu, Osman berkata, kerajaan negeri yang baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan senarai 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) menggunakan ‘formula’ 3,3,2,2 dan senarai itu akan diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Tambahnya, pengagihan kerusi itu mendapat persetujuan kesemua parti di bawah PH.

“Alhamdulillah semua sudah selesai dan sekiranya berjalan lancar dan mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor, majlis angkat sumpah Exco akan diadakan esok,” katanya. – MalaysiaGazette.