BAWAH Kolong minggu ini hendak menyiarkan kata hati seorang pemimpin UMNO Bahagian di Selangor. Beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Pada PRU-14 lalu, beliau yang banyak menghabiskan masa bersama seluruh masyarakat dalam Parlimen Shah Alam kalah kepada penyandang kawasan itu, Khalid Abd Samad dari Parti Amanah Negara (PAN).

Kekalahannya boleh dikatakan agak mengejutkan juga, kerana Khalid dan calon Pas, Dr. Muhd Zuhdi dilihat tidak banyak bergerak sepanjang tempoh berkempen.

Azhari hanya berjaya mendapat 22,100 undi, Khalid (55,949 undi) dan Dr. Muhd Zuhdi (15,194 undi). Majoritinya 33,849 undi.

Keputusan PRU-14 juga menyaksikan sejarah baharu tercipta apabila Barisan Nasional (BN) bukan sahaja kalah di 12 daripada 14 negeri malah paling teruk kehilangan Putrajaya.

Berikutan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, manakala beberapa wakil rakyat UMNO pula berpaling tadah menyertai Pakatan Harapan (PH).

Berikut Bawah Kolong memetik luahan hati Azhari;

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera…

Datuk Seri Najib Razak telah pun meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional. Gembira dalam sedih. Sedih dalam gembira. Terima kasih kerana menerajui UMNO dan Barisan Nasional selama 10 tahun. Banyak juga sebenarnya pembaharuan yang kita terima. Tetapi banyak juga tohmahan yang kita terima.

Kekalahan Barisan Nasional di PRU14 ini bukan hanya kekalahan biasa, tetapi ia luar biasa dijadikan satu sejarah yang akan terpahat hingga ke anak cucu.

Dari suasana Bilik Gerakan yang meriah siang dan malam sepanjang tempoh lebih kurang dua minggu tiba-tiba terus lenyap dan sepi. Ada juga anak-anak muda yang gelak ketawa memerli kita.

Tetapi mereka tidak ketahui bahawa perasaan ramai ibu, bapa, atuk dan nenek yang mungkin dari BN, PH atau Pas jauh di sudut hati sebenarnya sedih sehingga tidak berkata dua tiga hari. Tetapi jangan salahkan mereka (anak-anak muda) kerana mereka mungkin berfikir secara emosi, bukan dari hati.

Majoriti ahli UMNO dan Barisan Nasional bersedih pilu yang teramat dan ada juga yang marah tidak boleh terima hakikat kerana mereka siang dan malam bertungkus lumus berjuang.

Pelbagai usaha sudah dilakukan. Calon yang baik pun ditindas. Calon yang bermasalah dan tidak dikenali pun boleh menang. Pas dengan calon ustaz terkenal pun kalah.

Letaklah sesiapa sekali pun pasti akan menang. Mereka hanya melihat lambang bukan lagi calon untuk memangkah. Tapi apakan daya suara rakyat yang lebih berkuasa.

Sejujur saya katakan, sebagai Ketua Bahagian UMNO Shah Alam yang termuda di Malaysia, kekalahan ini perlu kita tanggung bersama oleh semua ahli UMNO. Jangan kita menuding jari kepada sesiapa.

Kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Jangan jadikan itu sebagai alasan kekalahan kita. Kalau itu pemimpin yang kita pilih itu bermakna pilihan kita sendiri juga. Kalau itu kesalahan pemimpin kesalahan kita juga. Terbukti rakyat sudah tidak boleh terima bukan saja kepada bekas presiden kita, tetapi kepada parti kita.

Kita sepatutnya berasa bangga dan megah kerana UMNO merupakan parti yang paling kukuh di dunia sebelum ini kerana darah pejuang kita. Berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Itulah keistimewaan UMNO dengan parti yang lain. Tetapi kita sering leka dari keselesaan. Ramai ahli yang senior masih degil dan tidak berganjak walaupun sudah terlalu lama menguasai pucuk kepimpinan, malahan menolak muka baru untuk tampil memberi nafas baru.

Kalau tidak percaya, lihat saja di bahagian masing-masing. Perebutan kuasa dan menyekat muka baru yang lebih berpotensi. Ada juga yang belum bersemuka bermesyuarat terus meletak jawatan selepas kekalahan PRU14 seolah-olah tidak mahu lagi bertanggungjawab dan ada juga yang memikirkan jalan mudah untuk menukar parti.

Itulah yang saya maksudkan siapa yang masih dan kekal inilah bermakna mereka memang benar seorang perajurit. Bersama-sama berjuang semula kebangkitan kita. Bukan hilang jika susah, bukan muncul bila senang.

Akhir kata. Usah gelisah. Tenang dan sabar. Kita rapatkan semula saf dan jurang. Kita buang sifat hasad dan dendam. Kita bangkit dengan roh dan salam. Kita suci dengan jiwa yang qhatam. Semboyan telah berbunyi. Moga Allah merahmati dan memberkati perjuangan kali ini. – MalaysiaGazette