KUALA LUMPUR – Aktres Datin Seri Umie Aida enggan berkongsi pengalaman tentang kehidupan yang dilalui ketika suaminya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan pada September 2015.
Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad, 45, lebih selesa berdiam biar pun kerajaan baharu (Pakatan Harapan) sekarang memberi ruang untuknya bersuara.
“Ramai yang bertanya dan banyak dapat mesej yang ingin saya berkongsi pengalaman dilalui ketika suami saya kena tangkap dahulu dan lain-lain.
“Saya minta maaf kerana belum bersedia untuk berkongsi dan lebih selesa berdiam diri untuk menceritakan pengalaman-pengalaman itu buat masa ini,” katanya dalam satu rakaman video di Instagram, semalam.
Pada September 2015, Khairuddin direman selama enam hari berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila beliau lantang mendesak siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan.
Beliau juga ahli UMNO pertama yang membuat laporan polis dan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu 1MDB selain beberapa laporan lain di luar negara.
Sebelum itu, pada Januari 2015, rumah Khairuddin, yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang di Mont Kiara telah dilelong dalam satu acara lelongan yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Khairuddin yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Parlimen Jasin, Melaka turut dilaporkan telah diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.
Mengulas lanjut, heroin filem Dukun itu mahu memberi perhatian kepada banyak perkara yang lebih penting berbanding hal berkenaan.
Dia juga menyifatkan pengalaman yang dilalui itu sebagai sesuatu yang mahal untuk dikongsi.
Pasangan berkenaan bernikah di Mekah pada Mac 2010. – MalaysiaGazette