BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara berkembang kepada 5.4 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Pertumbuhan keseluruhan didorong oleh pengembangan aktiviti sektor swasta yang berterusan dan sokongan yang mantap daripada eksport bersih.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi berkembang, menurut Bank Negara Malaysia.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi meningkat 1.4 peratus

Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.8 peratus pada S1 2018, mencerminkan kesan harga bahan api domestik yang lebih kecil berikutan kenaikan harga minyak dunia yang lebih rendah berbanding dengan suku tahun sebelumnya serta kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh pada suku pertama 2018.

Bank Pusat itu berkata, keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur walaupun volatiliti meningkat ekoran perkembangan di luar negeri.

Institusi kewangan domestik terus berdaya tahan dan mempunyai kualiti aset yang mantap, keuntungan yang kukuh dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

Aktiviti pengantaraan kredit terus menyokong aktiviti ekonomi benar dengan sektor perniagaan dan isi rumah mengekalkan keupayaan untuk membayar balik hutang dengan baik.

Menurutnya, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan pada tahun 2018 dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Prospek pertumbuhan terus disokong oleh limpahan positf yang berterusan daripada sektor luar negeri kepada aktiviti ekonomi dalam negeri.

Inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata 2 hingga 3 peratus pada tahun ini disebabkan oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh berbanding dengan tahun 2017.

Inflasi keseluruhan dijangka kekal rendah, disebabkan oleh kesan pindahan kos yang lebih kecil terhadap harga runcit berbanding dengan tahun 2017. – MalaysiaGazette