KUALA LUMPUR – Sejumlah 23.4 juta keping atau kira-kira 69 peratus penutup hidung dan mulut percuma telah diedarkan kerajaan kepada isi rumah di seluruh semenanjung, setakat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, baki sembilan juta keping lagi masih dalam proses agihan dan dijangka selesai diedarkan minggu ini.

“Seperti diumumkan sebelum ini, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memberi setiap isi rumah empat keping topeng muka secara percuma.

“Kerajaan telah memperuntukkan 32.4 juta keping topeng muka,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah beliau, pengagihan di Sabah dan Sarawak akan bermula hari ini.

Akhir bulan lalu, sebanyak 10 juta penutup hidung dan mulut yang dibeli oleh kerajaan telah tiba dari China.

Ia untuk diagihkan-agihkan kepada petugas barisan hadapan dan sebahagiannya diagihkan kepada rakyat secara percuma.-MalaysiaGazette