rumah
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin membuat lawatan kerja ke Rumah Transit 1Malaysia bagi meninjau keadaan persekitaran dan masalah yang berlaku di Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) Bukit Jalil, Bandar Kinrara, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jamiman tidak akan menekan pihak bank dalam usaha untuk memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada rakyat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, isu yang berbangkit iaitu birokrasi pinjaman perumahan telah dibincangkan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

“Isu pinjaman perumahan membabitkan Kementerian Kewangan, kita (KPKT) ada bawa isu ini sebab masalah pinjaman berpunca daripada birokrasi undang-undang bank, jadi kita cuba menyoroti masalah berkenaan.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita tidak akan menjejaskan pihak bank. Pastinya akan ada satu mekanisme atau jalan keluar yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah.

“Lagipun KPKT sudah adakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai masalah pinjaman perumahan ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Rumah Transit 1 Malaysia hari ini.

Zuraida berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima maklumat penuh berkenaan langkah KPKT di bawah kerajaan sebelum ini yang memberikan lesen kepada pemaju perumahan untuk memberikan pembiayaan kepada pembeli. 

Tambahnya, taklimat penuh dijangka diterimanya pada minggu hadapan. 

“Saya tidak tahu isunya, sebab saya belum ke bahagian itu.

“Cuma diberi taklimat, saya baru diberi gambaran umum saja. Nanti minggu depan saya akan pergi ke jabatan-jabatan. Nanti bila saya diberi taklimat penuh baru saya boleh komen berkenaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette