Ismail Mohamed Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Ismail Mohamed Yusoff selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara ILHAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2018

KUALA LUMPUR – PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) menafikan syarikat itu mengamalkan monopoli pasaran beras negara dan yakin sistem sedia ada perlu dikekalkan bagi terus menjamin keselamatan makanan.

Malah syarikat itu mendedahkan tidak pernah mengamalkan sebarang monopoli dan menunaikan tanggungjawab sosial selain memeprjuangkan nasib petani di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohamed Yusoff berkata, Bernas hanya memiliki 28 kilang daripada 180 buah kilang beras seluruh negara sehingga kini.

“Mana monopoli? Rata-rata kilang beras di negara ini adalah hak milik persendirian. Kami akan dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan bagi memberi yang terbaik untuk negara.

“Pada masa yang sama, Bernas juga mengalu-alukan pendirian kerajaan yang mahu memecahkan monopoli beras di negara ini, apa sahaja yang kami boleh bantu, kita dahulukan. Biar semua pandangan dari semua pihak di ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat di Menara Ilham di sini hari ini.

Tambah Ismail, beras di negara ini juga antara yang termurah dan 60 peratus pengeluaran beras adalah kualiti tempatan.

“Banyak mana lagi hendak diturunkan? Jika harga beras itu hendak diturunkan lagi, ia perlu mengambil kira pendapatan terendah pesawah dan setiap hasil yang dikeluarkan pesawah adalah dijamin beli oleh Bernas.

“Beras kita antara yang paling termurah di rantau ini, alasan untuk menjadikan harga beras lebih murah juga tidak boleh diterima kerana harga beras memang sudah murah,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Malaysia tidak pernah mengalami masalah kekurangan beras seperti makanan-makanan lain sejak Bernas ditubuhkan.

“Tidak ada sebab mengapa monopoli syarikat ini perlu dihapuskan, kita perlukan ‘gatekeeper’ tunggal jika buka kepada semua orang dan import terlebih, pengeluar tempatan tidak dapat jual padi mereka ,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast