KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, 48, maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur tingkat atas rumahnya di Lorong PJU 7/24A, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa lemas dalam asap tebal, selain 30 peratus daripada tubuhnya melecur.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Cradle Fund di bawah pimpinan Nazrin pernah membiayai syarikat-syarikat pemula baharu yang menyaksikan kejayaan besar, termasuk MyTeksi yang kini dijenama semula sebagai Grab serta imoney.my.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, ketika dihubungi ,berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari daripada orang awam yang melihat kejadian itu dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran berkenaan melibatkan bilik tidur sebuah rumah teres dua tingkat dan api berjaya dikawal seminit kemudian.
“Ketika berlaku kebakaran terdapat lima anggota keluarga mangsa di dalam rumah iaitu isteri mangsa dan empat anaknya dengan kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.
“Dalam operasi ini, seramai 14 anggota dari balai bomba dan penyelamat Damansara dan Petaling Jaya terlibat memadam kebakaran itu,” katanya. – Bernama