Mahkamah Majistret di sini, hari membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil yang meletup semasa sedang dicas, mungkin menjadi punca kebakaran sebuah bilik tidur semalam yang mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Mesej daripada keluarga Allahyarham Nazrin yang kini tular dalam media sosial, memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa pada suatu peringkat, telefon itu terlampau panas lalu meletup, mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

Tilam turut disambar api, namun ketika ini Nazrin sudah pun tidak bernyawa, kata ipar Allahyarham yang namanya tidak disebut dalam mesej berkenaan.

“Beliau ada dua telefon, satu Blackberry dan satu Huawei. Saya tidak tahu mana satu yang meletup. Siapa sangka prosedur rutin yang tidak berbahaya ini adalah penyebab tiga anak kecil membesar tanpa bapa mereka di sisi,” katanya.

Menurut polis, Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara semalam dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Mesej itu turut memuatkan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengecas telefon bimbit, termasuk mempertimbangkan zon yang selamat untuk berbuat demikian.

“Paling baik, bukan di dalam bilik tidur. Ia jauh lebih berbaloi sungguhpun telefon berada jauh daripada jangkauan,” kata ipar Allahyarham.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia. Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

— BERNAMA

CEO Cradle maut dalam kebakaraan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast