Honda dan Red Bull
Honda pengeluar enjin rasmi Red Bull Racing bermula 2019

ENGLAND – Pasukan Formula Satu (F1) Red Bull akan disokong dengan enjin lumba keluaran Honda Jepun mulai musim perlumbaan tahun 2019.

Red Bull sudah menutup tirai kerjasama dengan pengeluar enjin Renault.

Renault membantu Red Bull menjulang empat kejuaraan dunia sepanjang kerjasama kedua-dua pihak selama lebih sedekad lalu.

Namun pasukan Milton Keynes itu akan berganding bahu dengan pengeluar Jepun selepas kerjasama strategik pasukan itu dengan Renault tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner berkata, perjanjian untuk beberapa tahun bersama Honda memberi isyarat bermulanya fasa baharu dalam usaha perlumbaan red Bull.

“Kami bukan sekadar mahu menang di Grand Prix tetapi juga mencapai misi merangkul gelaran utama secara berterusan.

alt christian horner
Ketua Pasukan Red Bull Christian Horner mengharapkan hala tuju lebih cemerlang menerusi kerjasama enjin dengan Honda bermula musim Formula 1 2019

“Kami sentiasa mengambil keputusan yang membawa prestasi pasukan pada tahap tinggi.

“Selepas pertimbangan sewajarnya dan penilaian teliti kami pasti kerjasama strategik dengan Honda merupakan hala tuju betul pasukan dalam dunia F1,” katanya.

Pihaknya merakamkan penghargaan kepada sumbangan Renault selama ini.

Katanya, selepas ini pasukan itu akan memberi fokus kepada penyampaian keputusan terbaik dalam perlumbaan musim 2018 ini.

Manakala Presiden Honda Takahiro Hachigo pula berkata, pihaknya boleh mencapai kejayaan menerusi kerjasama dengan dua pasukan berbeza.

“Kami percaya kerjasama dengan Toro Rosso dan Red Bull Racing akan membolehkan kita mengejar misi menang perlumbaan dan kejuaraan dunia.

“Ia membina dua kerjasama sama strategik yang terkuat.

“Perbincangan telah diadakan dengan pantas dan terima kasih kepada Red Bull atas kepercayaan kepada Honda,” tegasnya.

Pelumba Red Bull Daniel Ricciardo akan tamat kontrak akhir tahun ini manakala Max Verstappen terikat dengan kontrak sehingga 2021. – MalaysiaGazette