Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta berlapang dada dan menghentikan perbalahan berhubung pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Ini kerana pelantikan Amirudin telah diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, perbezaan pendapat sebelum keputusan adalah perkara biasa tetapi perbezaan selepas keputusan akan mencacatkan  imej Pakatan Harapan di mata rakyat.

“Keputusan ini perlu disambut baik dan didukung oleh semua pihak khususnya para pendukung perjuangan Pakatan Harapan.

“Semua pihak perlu berlapang dada dan hentikan perbalahan. Fokus utama adalah untuk memperkasakan pentadbiran negeri demi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr. Idris Ahmad mesti dilibatkan untuk memperkukuh pentadbiran Selangor kerana beliau adalah tokoh politik kanan.

“Sesungguhnya ketokohan beliau perlu digandingkan dengan tenaga muda untuk memacu kecemerlangan.

“Manakala Menteri Besar Selangor yang baharu juga perlu diberi ruang untuk membuktikan keupayaan beliau mampu meneruskan kecemerlangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya. – MalaysiaGazette