Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mengakui berlaku pertindihan tugas antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Railway Assets Corporations (RAC).

Pertindihan tugas itu boleh dianggap bercelaru selepas pindaan Akta Keretapi pada tahun 1991, mengakibatkan hala tuju KTMB di bawah swasta dilihat gagal kerana syarikat itu tidak mampu menjadi entiti yang berorientasikan keuntungan.

Malah, KTMB mengalami masalah kewangan sehingga aliran tunai bertumbang-ambig, perniagaan penumpang dan kargo menghadapi masalah akibat kekurangan set tren dan tren kargo tambahan, membaikpulih landasan Lembah Kelang.

Gangguan-gangguan ini telah menghakis smber pendapatan, selain rungutan pengguna.

Presiden Kesatuan KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata, kewujudan RAC kononnya untuk membantu KTMB meleset sama sekali kerana RAC hanya sebuah agensi yang menguruskan aset-aset keretapi.

Kewujudan RAC juga menyebabkan pendapatan melalui aset-aset KTM telah diserahmilik kepada RAC sejak pindaan Akta Keretapi 1991.

“Usaha RAC mewujudkan Perjanjian Akses Rangkaian Landasan (RNAA) adalah satu usaha berniat jahat yang boleh menghancurkan KTMB, dan ia hendaklah dibatalkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

KPPKTMB juga menyambut baik kajian semula tanah-tanah keretapi yang belum diserahkan kepada pihak-pihak yang ditawarkan, malah mengalu-alukan proses pemberian tanah secara tender terbuka.

Kesatuan itu turut mencadangkan supaya RAC diletakkan di bawah KTMB kerana boleh menjadi sumber pendapatan tambahan melalui aset-aset yang ada dibangunkan oleh KTMB. – MalaysiaGazette