Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR – Kerajaan menaruh harapan pengurangan besar jumlah hutang negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sejak menyandang jawatan perdana menteri, kerajaannya telah membatalkan banyak projek yang menelan kos tinggi yang menyumbang kepada keseluruhan pengurangan hutang itu.

“Usaha mengurangkan hutang adalah satu tugas yang sukar, tetapi kami telah membatalkan banyak projek yang melibatkan kos tinggi, ” katanya pada majlis makan tengah hari Dewan Perniagaan Amerika Malaysia, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, usaha kerajaan menambah baik keadaan kewangan dan ekonomi negara itu tidak diterima dengan positif oleh pelabur asing yang membawa kepada pengaliran keluar modal.

“Kadang-kadang, saya rasakan pasaran lebih suka dibohongi betapa bagusnya kami daripada mengetahui tentang kebenaran sebenar, ” katanya.

Perdana Menteri menekankan tentang dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan serta perlunya ada kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta.

“Kita mahu bekerjasama rapat dengan sektor swasta, yang bermakna, sudah tentunya, kita boleh memanfaatkannya, ” katanya.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan terbuka untuk menerima idea dan komen membina daripada sektor swasta bagi membantu menambah baik proses penyampaian perkhidmatan sektor awam.

“Saya beri jaminan bahawa apabila dikritik atau diberi tahu yang kami melakukan suatu yang salah, kami akan melakukan yang terbaik untuk membetulkannya, ” katanya.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan pertumbuhan sektor swasta yang merupakan enjin pertumbuhan negara. — BERNAMA