Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan berhubung siasatan dua isu di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2018.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan berhubung siasatan dua isu di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Presiden UMNO yang baru dipilih, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa akan berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga lewat petang.

Menurut sumber badan siasatan itu, Ahmad Zahid dilaporkan akan memberikan keterangan selama 9 jam.

“Datuk Seri Ahmad Zahid mungkin akan habis beri keterangan jam 7 petang,” kata sumber SPRM kepada MalaysiaGazette.

Ia berikutan siasatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu melibatkan dua kes yang sedang disiasat oleh SPRM.

Sehingga jam 1 petang tadi sudah tiga jam Ahmad Zahid dirakamkan keterangan oleh pihak siasatan SPRM.

Terdahulu beliau hadir jam 9.50 pagi di perkarangan SPRM dengan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire putih bernombor pendaftaran SAM38.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil SPRM untuk mendapatkan keterangan berhubung berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.

Malah beliau juga dipercayai akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -MalaysiaGazette