Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini, menjelaskan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang bernilai RM3 bilion bukan disebabkan ketidakcekapan mengurus atau akibat berjoli.
Adnan Yaakob

KUANTAN – Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini, menjelaskan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang bernilai RM3 bilion bukan disebabkan ketidakcekapan mengurus atau akibat berjoli.

Beliau berkata jumlah hutang itu dihimpunkan daripada pentadbiran menteri besar terdahulu dan tidak mudah untuk dijelaskan kerana kerajaan negeri mempunyai hasil yang terhad.

Adnan yang menjawat jawatan menteri besar selama 19 tahun sejak tahun 1999 mengakui ‘terkilan dan dukacita’ dengan pandangan mereka yang tidak memahami isu hutang negeri kerana jumlah yang besar dibelanjakan adalah untuk kebajikan rakyat.

“Hutang banyak berpunca daripada air dan (pembinaan) kos rumah rendah yang ditambah apabila ramai tidak membayar hutang rumah berkenaan.

“Panjang paip di Pahang ini ada 14,000 kilometer, kira kita boleh pergi ke London dari Kuantan dan ditambah pula bila kita kena ambil alih 82 rumah pam di kawasan Felda.

“Harap semua faham kenapa hutang kita jumlahnya tinggi. Ia bukan sebab kita berjoli,” katanya semasa mencelah ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad pada persidangan pertama bagi penggal pertama DUN Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Adnan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang (ADUN) Pelangai berkata beliau ‘terpaksa mengguna sidang DUN sebagai platform untuk menjelaskan isu itu’ kerana beliau telah sedaya upaya melakukan tugasnya dengan baik sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan itu membolehkan semua pihak memahami rasional di sebalik jumlahnya dan sedar perkara itu bukan mudah untuk diatasi, mahupun oleh mereka yang pakar dalam ekonomi.

“Kalau bayaran air misalnya daripada RM1 yang dibayar pengguna, 50 sen adalah subsidi kerajaan. Kalau kita naikkan (tarif) sehingga 100 peratus pun tidak jadi apa… nak untung kena naik sehingga 300 peratus.

“Tapi kita tidak fikir tentang soal untung kerana kita lebih mengutamakan soal rakyat,” katanya.

Beliau seterusnya menambah ‘agak geram’ apabila diberitahu kos penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 pada tahun 2012 perlu ditanggung kerajaan negeri selain dimaklumkan hutang RM40 juta akibat banjir oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

“Banjir ini bencana alam. Sebab itu hutang kita tinggi. Kita pernah berbincang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju untuk melupuskan 60 peratus daripada jumlah itu, tapi tak sempat kerana beliau dipecat,” katanya.

Sementara itu, Ishak dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Adnan atas sumbangan dan pandangan yang dilontarkan beliau sejak mula memasuki sidang DUN Pahang pada tahun 1986.

Katanya, Adnan telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan membawa Pahang ke arah yang lebih baik termasuk dalam isu kebajikan rakyat, memperkasakan ekonomi dan pendidikan dalam perkhdimatannya sebagai menteri besar Pahang paling lama.

“Jasa ini akan terus diingati dan menjadi kenangan dan saya mengharapkan ADUN Pelangai akan terus memberikan idea yang bernas dan pandangan yang baik untuk kerajaan negeri Pahang,” katanya.

— BERNAMA