Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Jutawan yang tidak pernah henti dengan pelbagai kontroversi berkaitan skandal penyewelengan dana 1MDB, Jho Low diseru untuk segera pulang ke tanah air bagi memberi kerjasama dengan kerajaan menyelesaikan kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya mahu lelaki berkenaan yang dikaitkan dengan skandal terbesar negara untuk segera pulang bagi memberi pencerahan isu-isu berkaitan.

Jelas beliau, ketika ini pihaknya tidak mengetahui lokasi sebenar Jho Low berada dan pada masa yang sama tidak merancang untuk mencarinya di luar negara.

“Kita mahu Jho Low pulang dan tampil beri kerjasama dengan kita. DIa rakyat Malaysia dan kita mahu beliau pulang dan menyenangkan kerja kita.

“Kita tidak merancang mencarinya sehingga ke Dubai, dia rakyat sini dan dialu-alukan untuk pulang. Dia boleh bantu kita dalam penyiasatan skandal 1MDB ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘ Corruption and Crime: Malaysia, Perception or Reality’ di sini hari ini.

Sebelum ini, Jho Low diwar-warkan berada di Dubai kerana dia rapat dengan pihak berkepentingan yang berpengaruh di sana.

Peguam Jho Low juga mendakwa sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan antara anak guamnya dengan pihak berkuasa Malaysia yang sedang menyiasat skandal 1MDB ketika ini.

Dalam pada itu, ketika mengulas status siasatan berkaitan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud mengenai salah laku beliau berkaitan dengan SPRM, Mohd Syukri berkata, pihaknya belum mendapat bukti baharu.

“Kita sudah buka 15 kertas siasatan sebelum ini dan siasatan setakat ini memang betul tiada satu kes yang mengaitkan dirinya melakukan salah guna kuasa.

“Selagi ada bukti atau menerima maklumat baru tentang Taib Mahmud, kita tidak boleh lakukan apa-apa siasatan atau pendakwaan. Setakat ini, tidak ada apa-apa lagi,” ujarnya.

Abdul Taib yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak telah dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah semasa beliau menjawat jawatan berkenaan dari 1981 hingga 2014.

Antara tuduhan yang dikaitkan termasuk salah guna kuasa, rampasan tanah dan menerima sogokan.

Pada Februari, Abdul Taib menerima suratcara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara,

Pada 1 Mac 2014, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014. – Malaysia Gazette