KUALA LUMPUR – Penganjuran Minggu Media Sosial (MSMW) 2018 oleh Dewan Media Sosial pada tahun ini bukan sahaja memberi pengetahuan tinggi berhubung media sosial kepada peserta sebaliknya juga memberi maanfat kepada golongan penceramah itu sendiri.
Malah MSMW juga telah berupaya menjadi satu platform terbaik bagi menyampaikan dan berkongsi maklumat mengenai dunia media sosial antara pengamal tempatan dan antarabangsa.
Menurut penceramah dari Singapura, Sophie Bell, beliau begitu teruja melihat kepesatan, kecaggihan serta pengetahuan yang dimiliki oleh rata-rata pengguna media sosial di negara ini.
“Saya bukan sahaja teruja malah begitu terpesona untuk mendampingi para peserta yang saya temui untuk kali pertama, mereka bukan sahaja terbuka untuk terus menerima pengetahuan malah juga banyak mempunyai pemahaman tinggi dalam industri ini.
“Masyarakat dunia termasuk di Malaysia kini mempunyai gaya hidup berteraskan digital dengan hampir semua urusan termasuk perbankan sehingga memesan makan dilakukan melalui media sosial sahaja.
“Penganjuran sesi MSMW seperti ini banyak memberi manfaat besar kepada semua tentang kepentingan media sosial dalam kehidupan seharian malah untuk masyarakat sekeliling dan segala-galanya,” kata beliau.
Bagi penceramah dari New Dehli, India, Praval Singh pula, beliau bukan sahaja hadir sebagai penceramah sebaliknya juga sebagai peserta kerana program serta bengkel yang disertai sebenarnya banyak memberi peluang kepadanya.
“Saya amat gembira kerana terpilih menjadi salah seorang penceramah di MSMW kali ini malah tidak sabar untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan media sosial.
“Saya datang bagi berkongsi pengetahun tentang penggunaan media sosial terutamanya dalam mempromosi dan memasarkan produk yang kita ada. Saya sendiri merupakan Pengurus Kanan Pemasaran Zoho yang menjual teknologi bagi perniagaan sejak dua dekad lepas.
“Di sini saya juga nampak banyak peluang, dengan menggunakan media sosial sahaja kita sudah dapat memasarkan pelbagai perkara, malah rakyat di negara ini juga bijak menggunakan platform untuk pelbagai perkara,” ujarnya.
Sementara itu, bagi peserta dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), T.K Letchumy Tamboo yang merupakan Ketua Unit Media Editorial berkata, setiap program yang telah direncanakan dalam agenda MSMW ini sebenarnya akan banyak membantu beliau pada masa hadapan.
“Saya merupakan bekas wartawan sebelum ini, saya baru sahaja menyertai SSM sejak tujuh bulan lepas. Kerjaya sebagai wartawan dan kini sebagai Ketua Unit Media sangat berlainan di mana penggunaan media sosial amat penting.
“Saya kena akui banyak belajar dalam sesi yang dijalankan dalam MSMW, membuka peluang kepada golongan baru seperti saya untuk mempromosi dan berkongsi tentang cabaran mengenai media sosial.
“Saya lihat MSMW 2018 dapat membantu untuk menulis fakta-fakta yang betul di samping memberi maklumat yang berguna dan berkualiti kepada pengguna media sosial seperti saya yang perlu gunakan dalam kerjaya terbaru ini,” katanya.
Michelle Ong yang merupakan Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi MPH pula berpandangan bahawa program seumpama itu mampu membina rangkaian hubungan sosial melalui cara yang mudah di samping mempromosi dan menyokong penggunaan media sosial secara berdisiplin dan beretika.
“Malah saya banyak belajar dalam MSMW kerana mahu mengetahui tentang bagaimana menggunakan platform ini bagi pemasaran yang efektif terutamanya kini rata-rata pengguna banyak menggunakan digital sedangkan saya dalam bisnes cetakan buku yang kini sudah tidak begitu popular,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Impak lebih besar melalui MSMW 2018
Dewan Media Sosial mahu didik pengguna media sosial – Nather Mohammed