Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berucap pada program Walk Stop Talk di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JULAI 2018
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berucap pada program Walk Stop Talk di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mencabar Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam untuk meneruskan hasratnya menyamannya.

Mohd Shukri sedia menghadapi tindakan saman pemimpin NGO itu namun segala dakwaan dan pertuduhan hanya akan ditentukan oleh mahkamah kelak.

“Itu hak dia buat lapor polis. Samanlah saya terima. Biar mahkamah tentukan (prejudis),” katanya pada sidang media selepas Program Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Lokman yang membuat dua laporan polis terhadap Mohd Shukri dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Laporan itu dibuat secara berasingan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Lokman sebelum ini berkata, laporan itu dibuat untuk menggesa satu siasatan dilakukan terhadap kedua-dua individu berkenaan kerana didakwa memfitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengamalkan politik dendam.

Katanya, laporan pertama dibuat terhadap Shukri selepas tindakan beliau membekukan akaun keluarga Najib yang dilihat mempunyai unsur membalas dendam.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berjanji akan memastikan agensi penguatkuasaan itu akan terus agresif dalam memerangi jenayah rasuah.

“Saya dari dulu agresif dan saya akan agresif sepanjang saya menerajui SPRM, agresif tindakan ke atas perasuah itu akan berjalan seperti biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette