Keganasan berlaku di Haiti selepas kerajaan menaikkan harga bahan bakar. foto Agensi

PORT-AU-PRINCE – Pemimpin Haiti meminta penunjuk-penunjuk perasaan yang membantah kenaikan harga petrol bertenang selepas kerajaan negara itu menangguhkan keputusan awal.

Pengumuman penangguhan itu dibuat pada hari Sabtu – sehari selepas kenaikan harga petrol, gasolin, diesel dan kerosin dibuat.

Kerajaan Haiti turut mengutuk tindakan ganas dan vandalisme yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, penurunan harga itu tidak dapat membendung kemarahan rakyat yang masih melakukan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya dan menyerang tempat-tempat perniagaan termasuk hotel.

Tunjuk perasaan itu telah menyebabkan beberapa penerbangan termasuk American Airlines dan JetBlue ke negara-negara Caribbean terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat meminta semua kakitangannya tidak keluar rumah.

Kementerian Perdagangan dan Ekonomi Haiti mengumumkan kenaikan harga bahan bakar pada Jumaat lalu sebanyak 38 peratus bagi gasolin dan 47 peratus untuk diesel. Kenaikan itu berkuatkuasa tengah malam.

Kenaikan harga baham api itu merupakan sebahagian daripada perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa, yang memerlukan negara itu untuk melaksanakan beberapa langkah penjimatan. – MalaysiaGazette