Anthony Loke bercakap pada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan bantuan geran tunai kepada pemandu teksi di negara ini yang ingin menyertai industri berkenaan dan perkhidmatan e-hailing.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, keputusan untuk meneruskan dasar sedia ada kerajaan Barisan Nasional (BN) itu diambil demi kepentingan pemandu teksi di negara ini.

Tambah beliau, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Kabinet yang mengambil masa enam jam bagi menyelesaikan pertikaian mengenai industri e-hailing di peringkat nasional.

“Pemandu teksi sedia ada yang ingin menyertai perkhidmatan e-hailing akan diberi bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baru atau terpakai.

“Pada masa yang sama, pemandu teksi yang telah tamat tempoh kontrak cukai dengan syarikat teksi juga diberi geran itu sekiranya mereka berhasrat untuk menjadi pemandu teksi dengan menggunakan individu teksi lesen (asas sedia ada diteruskan),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet hari ini.

Geran RM5,000 itu pernah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2016 untuk membeli kende­raan lain bagi tujuan e-hailing.

Geran tersebut diluluskan oleh Kerajaan BN sebelum ini di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TTIP).

Ketika itu, Putrajaya memperuntukkan RM150 juta untuk membantu lebih 30,000 pemandu teksi yang mahu keluar daripada model sewa pajak dan seterusnya memiliki permit individu. – MalaysiaGazette