KEPONG – Sejumlah 200 keluarga penduduk Taman Sejahtera di sini masih tertanya-tanya mengenai projek Pusat Rekreasi Kepong yang masih belum dibina.

Menurut Pengerusi Penduduk Taman Sejahtera, Jayakumar Manokaran, penduduk telah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penangguhan projek itu.

Namun mereka hampa apabila mendapati tanah berkenan bukan milik UMNO Kepong sebagaimana yang diwar-warkan selama ini.

“Sebelum ini kami sudah buat laporan bahawa mereka sudah buat binaan dan ambil sebahagian dari tanah ini untuk bina taman permainan.

“Tapi malangnya tidak sebarang tindakan daripada DBKL. Kita buat satu lagi laporan kepada Kementerian Dalam Negeri, dan kepada DBKL, pejabat Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan) dan Datuk Bandar KL.

“Saya diberitahu bahawa tanah ini milik persendirian, jadi kami tertanya-tanya siapa tuan tanah ini sebab mereka tidak boleh dedahkan,” katanya kepada wartawan hari ini.

Seramai 50 penduduk taman itu hari ini membuat serbuan ke tapak projek berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun berlaku pertikaman lidah antara penduduk dengan Ketua Bahagian UMNO Kepong, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid.

Rizuan mendakwa penduduk dan aktivis komuniti Kepong, Yee Poh Ping menceroboh kawasan mereka.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Penduduk mendesak Rizuan memberikan penjelasan mengenai penangguhan projek berkenaan.

Menurut Rizuan yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, projek ini terhenti apabila terdapat isu mengenai status tanah di kawasan itu yang gagal diselesaikan oleh DBKL.

“Kami tangguhkan sebab PRU14, isu tanah ini masih belum selesai. DBKL kata ini tanah pemaju, dan pemaju tidak serah kepada DBKL sebab pemaju sudah bangkrap.

“Kalau nak selesai, DBKL kena selesaikan masalah ini dulu, baru boleh bangunkan tempat ini.

“Saya sudah bincang dengan DBKL banyak kali, dan mereka kata ini bukan tanah mereka dan masalah ini tidak akan selesai.

Malah hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati tapak projek berkenaan kini kosong dan cuma terdapat satu bangunan pentadbiran sahaja di tapak berkenaan.

Pada 2015, kawasan ini pernah diwartakan untuk pembinaan Pusat Rekreasi Kepong yang dijangka beroperasi dengan adanya pusat dialisis.

Malah dalam satu acara pada tahun ini, Yayasan Kepong yang dikelolakan oleh Rizuan meraih RM4 juta bagi tujuan membina bangunan dan pusat dialisis terbabit. – MalaysiaGazette