Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan satu debat bertajuk Who Is The Real Terrorist diadakan di antara Dr Zakir Naik dan Dr P. Ramasamy.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan satu debat bertajuk Who Is The Real Terrorist diadakan di antara Dr Zakir Naik dan Dr P. Ramasamy.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Dr Maza berkata, cadangan itu adalah atas semangat Malaysia Baharu yang terbuka dan telus dalam membuat penilaian polemik di antara pendakwah Islam dan pemimpin DAP itu.

Untuk rekod Dr Zakir merupakan individu yang dikehendaki oleh kerajaan India manakala Ramasamy pula dikaitkan dengan pertubuhan pengganas Tamil antarabangsa dan menurut Dr Maza, debat antara kedua-dua invididu itu hendaklah dibuat segera.

“Debat ini hendaklah dibuat secara terbuka yang dapat disaksikan oleh setiap lapisan rakyat.

“Siaran langsung media hendaklah diberikan ruang. Biar rakyat menjadi saksi tentang polemik ini,” katanya dalam laman catatan di laman facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, jika benar pemimpin DAP tersebut mementingkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat menilai kebenaran, maka mereka wajar menyahut cadangannya.

Sebaliknya, kata beliau, jika pemimpin DAP itu enggan, maka ternyata isu tersebut hanya mempamerkan sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata-mata.

“Berdasarkan desakan mereka, maka saya cadangkan sesiapa yang jelas tewas dalam debat mungkin boleh dihantar pulang ke India seperti yang menjadi hasrat mereka. Salah seorang akan pulang ke sana.

“Mohon semua pihak khususnya rakyat awam membantu menggesa debat ini diadakan dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, Dr Zakir tidak akan diserahkan kepada pihak berkuasa di India dan pendakwah itu diberi status penduduk tetap.

Satu pertemuan di antara Dr Mahathir dan Dr Zakir turut berlangsung Sabtu minggu lepas.

Media di India sebelum ini mencetuskan spekulasi bahawa Dr Zakir akan dihantar pulang ke India bagaimapun peguam pendakwah itu menafikan perkara sebut dan menegaskan anak guamnya tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk diekstradisi.

Ramasamy yang mengulas perkembangan melahirkan rasa terkejut sambil mempersoalkan adakah wujud persetujuan sulit di antara India dan Malaysia untuk membatalkan proses ekstradisi.

Beliau turut mendesak kerajaan mendedahkan bagaimana Dr Zakir diberi status penduduk tetap dalam sekelip mata dan pada masa yang sama terdapat pemohon-pemohon yang terpaksa menunggu lama. – MalaysiaGazette