Profesor Dr Ramlah Adam
Profesor Dr Ramlah Adam

KUALA LUMPUR – “Saya tidak sangka selepas lebih 60 tahun merdeka, Malaysia akan mengalami situasi yang mana kita masih perlu berjuang mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“Keadaan sekarang semuanya jadi carca-merba. Jangan kata sebut pasal negara bangsa kalau survival sebagai seorang Malaysia kian terhakis dan semangat patriotisme semakin hilang,” kata Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

Beliau cukup sedih apabila ada segelintir pihak yang berusaha mahu mengiktiraf UEC sedangkan ia secara nyata bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Lebih memedihkan apabila pihak terlibat termasuk Menteri Pendidikan secara terbuka dilihat bersungguh-sungguh mahu mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Sambil mempersoalkan apakah yang sudah terjadi dengan Malaysia apabila perkara yang bertentangan dengan sistem negara diperkotak-katikkan atas tiket politik.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Melayu Universiti Malaysia Perlis itu menambah, Kementerian Pendidikan tidak perlu memainkan sentimen atau mengaitkan soal perpaduan dalam usaha mengiktiraf UEC.

Ini kerana, kewujudan sekolah persendirian Cina itu secara terang-terangan tidak mematuhi Perlembagaan negara, apatah lagi Dasar Perpaduan Nasional dan Dasar Pendidikan Negara.

Jika tiga perkara asas yang utama dan penting itu tidak dipatuhi, maka Kementerian Pendidikan tidak perlu menggunakan alasan tersebut untuk mengiktiraf UEC.

Katanya, Sekolah Vernakular dan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan sama sekali tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Malah, Perkara 152 Perlembagaan menerapkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

Meskipun begitu, katanya, Perkara 152 juga memperuntukkan walaupun Bahasa Melayu itu ditetapkan sebagai bahasa Kebangsaan, namun ia tidak menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.

“Saya bercakap bukan atas sebab bangsa atau perkauman tetapi berdasarkan fakta, survival Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

“Oleh sebab itu, sangat penting untuk mengetahui sejarah dan asal-usul setiap perkara yang disebut dalam Perlembagaan kerana diwujudkan bersebab,” ujar beliau.

Ramlah berkata, sama ada kerajaan dan Kementerian Pendidikan sedar atau tidak, pengiktirafan UEC akan hanya mewujudkan pemisahan dalam kalangan generasi muda melalui tiga sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan satu lagi sistem persekolahan yang tidak mematuhi dasar pendidikan.

“Bagaimana pelajar yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu dan tahu sejarah tentang negaranya sendiri dibenarkan berada universiti awam dan menjadi kakitangan awam suatu hari nanti.

“Bagitahu saya, kalau falsafah, modus operasi dan matlamat awal pun silap, perpaduan apakah yang kerajaan baharu dan Kementerian Pendidikan cuba pertahankan,” soal Ramlah yang hairan mengapa kerajaan mahu memperjuangkan pelajar-pelajar yang menolak sistem pendidikan negara sendiri.

Jelasnya, apa yang cuba dipertahankan oleh Kerajaan Pakatan Harapan berhubung UEC langsung tidak kena gaya, selain faktor politik semata-mata.

Katanya, jika itulah matlamat kerajaan maka jangan terkejut suatu hari nanti Malaysia sudah tidak lagi memiliki warga negara yang menghormati sistem negara, rakyat yang taat dan setia kepada negara dan tidak peduli dengan negara bangsa.

Yang lahir adalah golongan yang mahukan kuasa politik dan ekonomi kerana penguasaan itu boleh mengubah sistem yang ada.

“Jangan pemimpin yang ada sekarang sedih jika rakyat Malaysia akan datang tidak ada semangat Malaysia seperti warga Indonesia dan Thailand yang cukup menghormati negara, bendera dan bahasa mereka.

“Dan, jangan pula kita malu jika sistem negara yang dipertahankan sekarang akan melahirkan generasi baru Malaysia yang hilang jati diri,” katanya. – MalaysiaGazette