Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mementingkan budaya telus dalam menentang amalan rasuah mampu mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur asing.

Malah, langkah kerajaan yang turut mengamalkan prinsip mesra perniagaan dengan pihak swasta juga diyakini akan menarik minat pelabur untuk terus menanam modal di dalam negara ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini satu hubungan yang cukup positif seperti yang disebut oleh Tun (Dr Mahathir) di mana peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara sangat penting.

“Kalau ada kerjasama yang baik antara kerajaan dan swasta ianya akan menjana pentumbuhan ekonomi dan memberi kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya percaya jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan hari ini sebuah kerajaan yang telus menentang rasuah dan pegang kepada prinsip rule of laws ianya akan mengembalikan keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di dalam negara,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu (ACCCIM) di hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan masih lagi berpegang kepada prinsip kebertanggubgjawaban dalam memastikan pelabur merasai satu suasana yang kondusif dalam melaksanakan perniagaan.

Terdahulu sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan mesyuarat agung berkenaan yang diadakan buat kali yang ke-72.

Mesyuarat dihadiri kira-kira 1,000 peserta dan hadir sama menyaksikan perasmian itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam ucapannya Dr Mahathir berkata, kerajaan akan melindungi pihak-pihak yang memberi maklumat mengenai salah laku membabitkan rasuah.

Menurut Mahathir, jaminan tersebut diberikan kepada mereka yang mengetahui aktiviti tidak bermoral itu dengan tidak perlu risau untuk melaporkannya. – MalaysiaGazette