MAB
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd. , Kapten Izham Ismail (kanan) semasa sidang media selepas memeterai Perjanjian Penerbangan Sewa Khas Sesi 2018 - 2019 di antara G4 #KAER MHX dengan MAB di Akademi Malaysia Airlines Berhad, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2018

PETALING JAYA- Malaysia Airlines Bhd. (MAB) masih menantikan kepastian daripada kerajaan berhubung barangan dan perkhidmatan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum membuat sebarang kenyataan sama ada cukai tersebut bakal memberi impak kepada penumpangnya atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail berkata, tiket penerbangan dikecualikan daripada SST sebelum cukai tersebut diambil alih oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan sejak April 2017.

Kerajaan bakal melaksanakan semula SST bermula September ini.

“Kami masih menantikan garis panduan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum membuat kenyataan sama ada SST memberi kesan kepada tiket penerbangan Malaysia Airlines atau tidak.

“Jika dilihat kepada pelaksanaan SST sebelum ini, tiket penerbangan dikecualikan daripada cukai tersebut.

“Tetapi GST dikenakan pada tiket penerbangan jadi kami masih menantikan garis panduan sebenar,” katanya semasa sidang media selepas memeterai perjanjian penerbangan sewa khas dengan empat syarikat pengendali umrah di sini hari ini.

MAB menandatangani perjanjian setahun bagi penerbangan sewa khas umrah bermula Oktober ini sehingga Jun 2019 dengan KRS Travel Sdn. Bhd., ATS Global Travel & Charter, Ecoriths Leisure Travel & Tour dan Rayhar Travels Sdn. Bhd.

Dengan keseluruhan 149 penerbangan menggunakan pesawat A380-800, Malaysia Airlines akan menerbangkan lebih 70,000 jemaah umrah yang berdaftar dengan KRS, ATS, Ecoriths dan Rayhar sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, menurut Izham, MAB berhasrat untuk menguasai 50 peratus pasaran umrah di Malaysia dan Indonesia dengan 270,000 sehingga 290,000 jemaah umrah dijangka menunaikan ibadah berkenaan sepanjang musim depan.-MalaysiaGazette