Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (kanan) membaca buku Laporan Sosioekonomi Negeri tahun 2017 sambil diiringi Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (kiri) pada Majlis Statistik Mensejahterakan Rakyat di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (kanan) membaca buku Laporan Sosioekonomi Negeri tahun 2017 sambil diiringi Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin (kiri) pada Majlis Statistik Mensejahterakan Rakyat di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia perlu memastikan setiap data yang dikeluarkan beritegriti, relevan dan mencukupi bagi menyediakan perangkaan yang membolehkan setiap kementerian dan agensi merangka polisi dengan betul dan tepat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini penting bagi mencapai matlamat dan hala tuju negara untuk tempoh 11 hingga 12 tahun akan datang.

Jelas beliau, hanya dengan statistik yang relevan akan membolehkan kerajaan baru menunaikan janji-janji manifesto dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Di peringkat global, pada hari ini setiap keputusan dan tindakan yang diambil akan memberi impak kepada 7.6 bilion penduduk dunia sementara di Malaysia sahaja perancangan serta dasarnya akan memberi kesan kepada 32 juta penduduk.

“Dari hari ini sehingga tahun 2030, kita juga memerlukan statistik-statistik ini bagi memantau kedudukan kita setiap tahun supaya sentiasa berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat tersebut.

“Statistik yang disediakan juga perlu bukan sahaja merangkumi ekonomi sebaliknya juga aspek sosial. Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai Indeks Kesejahteraan Sosial yang menyukat kebahagian daripada pelbagai aspek kehidupan. Pada masa sama, statistik alam sekitar juga perlu diluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Statistik Mensejahteraan Rakyat dan Pelancaran Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 & My Locals Stats Negeri 2017 di Dewan Tun Canselor , Universiti Multimedia (MMU) anjuran Jabatan Perangkaan Negara di Cyberjaya.

Tambah Wan Azizah, kerajaan bahkan individu memerlukan statistik untuk kelestarian kehidupan generasi akan datang terutamanya ketika menjelang 2020 yang mana Malaysia akan menjadi penduduk menua dengan 7.2 peratus penduduk akan berumur 65 tahun ke atas.

“Negara memerlukan perancangan dan agihan sumber yang betul dalam penggubalan dasar dengan menyediakan kemudahan penjagaan dan kesihatan bagi keselesaan kelompok penduduk ketika itu,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak termasuk induvidu, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, penyelidik, wakil rakyat untuk sentiasa memperbanyakan penggunaan statistik dalam membuat sebarang keputusan.

“Semua rakyat tanpa mengira lapisan berperanan dalam membekalkan maklumat tepat dan berkualiti bagi tujuan penghasilan statistik menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Agenda 2030 untuk membantu membasmi kemiskinan dan mencapai pembangunan mampan itu adalah berdasarkan kepada konsensus yang dicapai di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015.

Dua produk Jabatan Perangkaan Negara yang buat julung kali dihasilkan iaitu buku Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 dan My Local Stats Negeri.

Kedua-dua laporan ini merupakan manifestasi kepada keperluan statistik di peringkat terperinci oleh pengguna statistik amnya dan penggubal dasar secara khas.

Kedua-dua laporan itu mengandungi statistik sehingga peringkat kawasan kecil iaitu peringkat daerah pentadbiran yang akan memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat. – Malaysia Gazette