Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan menerima pentadbiran negara daripada Barisan Nasional dalam keadaan baik dengan ekonomi yang kukuh selepas mencatatkan pertumbuhan selama sembilan tahun berturut-turut.

Lantaran itu, Datuk Seri Najib Razak berharap Pakatan Harapan tidak terus menunding jari kepada Barisan Nasional kerana gagal melunaskan janji manifesto mereka.

Menurutnya, kerajaan tidak semestinya membatal atau mengkaji semula projek-projek yang dirancang, sebaliknya mana projek yang baik perlu diteruskan.

“Tapi kalau mereka hendak buat cara sekarang, akan timbul ketidaktentuan dalam pasaran, pelabur kurang yakin, masalah perancangan berlaku, projek tergendala.

“Suasana hari ini membimbangkan rakyat, pelabur dan perniagaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dalam masa sama, Najib menjelaskan, sistem nisbah hutang yang digunakan oleh kerajaan tidak akan memberi kesan negatif oleh agensi-agensi penarafan.

Ini kerana, mekanisme dan definisi yang digunakan adalah sangat konsisten,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kadar hutang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada tahun 1998 iaitu 103 peratus dan menjadi rendah semasa pentadbiran beliau kepada 50 peratus.

“Anda tidak boleh menambah hutang luar jangka dan inisiatif pembiayaan swasta, pembayaran sewa. Kalau buat macam tu bermakna kadar hutang pada tahun 1998 mungkin naik sehingga 140 hingga 150 peratus,” jelasnya.

Najib berkata, agensi-agensi penarafan memahami pendekatan tersebut kerana mereka terbabit dan melihat sendiri.

Tetapi, katanya, jika kerajaan sedia ada terus bercakap benda yang sama tentang hutang berjumlah RM1 trilion, ianya hanya menyebabkan pasaran saham jatuh dan pengurangan dalam kekayaan negara.

Menurut beliau, dalam tempoh 70 hari pemerintahan Pakatan Harapan, aliran keluar modal asing negatif setiap hari kecuali untuk dua hari.

“Situasi ini sebenarnya mengukur keyakinan pasaran dunia terhadap Malaysia. Saya bimbang kita mungkin akan ‘menembak’ diri sendiri.

“Kalau apa-apa kita buat tidak membawa keyakinan kepada pasaran global, sudah tentu ia menjejaskan ekonomi negara sebab kemampuan dalaman kita ada hadnya.

“Memang ada sedikit kenaikan dalam pasaran saham kita sebab institusi kewangan kita kukuh tetapi untuk sampai ke tahap yang tinggi kepada ekuiti dan modal daripada luar negara kena ada positif impak.

“Selagi tidak ada, ekonomi negara akan terjejas,” kata bekas Menteri Kewangan itu. – MalaysiaGazette