Dr Xavier Jayakumar
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Datuk Lokman Noor Adam didakwa sudah ketandusan isu untuk dijadikan bahan kempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis.

Disebabkan itu, calon Barisan Nasional menggunakan isu tarian gelek untuk menarik perhatian, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Xavier Jayakumar.

“Pada saya UMNO kehilangan isu untuk digunakan dan menggunakan isu perkauman dan agama serta LGBT (lesbian, gay, homoseksual dan transgender),” katanya yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Sambutan Hari Tanah Negara di sini.

Xavier yang sudah 10 tahun memantau DUN Sungai Kandis berkata, isu LGBT adalah isu peribadi dan biarlah pengundi yang menilainya.

Baru-baru ini, Lokman persoal pendirian Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung isu tarian gelek sewaktu kutipan derma Tabung Harapan Malaysia (THM) pada 25 Julai lalu.

Mohd Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz.

Lokman berkata, jika calon Pakatan Harapan (PH) itu tidak mampu menyanggah keputusan dibuat pimpinan tertinggi, adalah lebih baik jika pengundi DUN Sungai Kandis memberikan undi kepada BN.

Dalam sidang media itu, Xavier turut mendakwa Lokman telah melupakan siapa yang membantunya ketika susah dan menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998.

“Saya tidak mahu komen terhadap apa yang dikatakan Lokman Adam sebab saya kenal dia sejak 1998.

“Lokman lupa siapa yang tolong dia masa itu  dan ketika dia dikenakan ISA. Kami tolong keluarga dia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast