KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad didesak agar lebih terbuka dengan tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berusaha melindungi hak-hak orang Melayu dan Islam.

Menurut Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya, kepimpinan PH yang ‘mengagungkan-agungkan’ konsep ‘Malaysia Baru’ harus lebih terbuka mendengar desakan NGO Islam berhubung soal kacau ganggu terhadap Perlembagaan.

“Kalau lebih teruk layan terhadap kami (NGO Islam) ini bukan (Malaysia) baru, ia haru biru maknanya. Kita harap kerajaan ini betul-betul baru dan lebih baik dan konstruktif.

“Kita telah hantar enam tuntutan kepada IRC tapi satu pun tidak dilayan. Kita rasa kecewa kerana kita tahu dalam organisasi itu adanya Datuk Ambiga.

“Mungkin itu mereka tidak layan tuntutan yang kita hantar,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru hari ini.

Malah menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islam Malaysia (PERKID), Masridzi Sat, NGO Islam akan tetap menjadi pemerhati untuk proses semak dan imbang kepada kerajaan memerintah.

“Kami sentiasa menjadi badan semak dan imbang kepada kerajaan yang memerintah. Bukan kita menegur soal kerajaan PH sahaja tapi kerajaan BN dulu pun kita konsisten menegur tapi mereka layan kita dengan baik.

“Dan kita harap PH bagi layanan dan respon kepada tuntutan kita dengan positif. Kalau tidak kita terpaksa berdepan dengan kebangkitan ummah yang sebegini,” jelas Masridzi lagi.

Hari ini, dianggarkan lebih 3,000 peserta hadir dalam himpunan itu yang menuntut agar kerajaan PH menolak permintaan kaum minoriti di negara ini.

Antaranya pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), LGBT, pemerkasaan Bahasa Kebangsaan, dan juga isu tanah rizab Melayu.

Himpunan turut disertai beberapa pemimpin pembangkang, antaranya Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Parlimen Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan calon PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bagi ruang lah sikit. mahadir tidak duduk tidur saja. berapa kali dia nak cakap . susah nak cari orang baik untok diberi tugas. daftar diri dengan mahadir lah kalau rasa diri baik sebagai dikehendaki mahadir . jangan duk menyalak je pandai . tanggong jawab kena ada.

Comments are closed.