KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia dianggarkan sebanyak 32.4 juta orang pada tahun ini dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 1.1 peratus.

Daripada jumlah itu, jumlah penduduk warga negara pada 2018 adalah 29.1 juta.

Jabatan Perangkaan berkata, penduduk lelaki melebihi perempuan iaitu masing-masing 16.7 juta (lelaki) dan 15.7 juta (perempuan).

Nisbah jantina bagi tahun 2018 kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan berbanding 2017.

Katanya, peratusan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) pada 2018 menurun daripada 24.1 peratus pada 2017 kepada 23.8 peratus.

Manakala peratusan penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6 peratus pada 2017 kepada 69.7 peratus pada 2018.

Peratusan penduduk 65 tahun dan lebih (umur tua) pula meningkat daripada 6.3 peratus kepada 6.5 peratus bagi tempoh yang sama.

Peningkatan komposisi penduduk umur bekerja dan umur tua memberi kesan kepada peningkatan umur penengah pada 2018 iaitu 28.6 tahun.

Komposisi etnik Bumiputera mencatatkan peningkatan 0.3 mata peratus pada 2018 berbanding 2017, iaitu 69.1 peratus daripada jumlah penduduk warga negara.

Walau bagaimanapun, komposisi etnik Cina dan India mencatatkan penurunan masing-masing 0.2 mata peratus dan 0.1 mata peratus. – MalaysiaGazette