Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman (tengah) bersalaman ketika hadir pada sidang media berhubung kegusaran terhadap langkah kerajaan mengenai agensi berkepentingan melayu seperti MARA dan TERAJU di Pejabat MTEM, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2018
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman (tengah) bersalaman ketika hadir pada sidang media berhubung kegusaran terhadap langkah kerajaan mengenai agensi berkepentingan melayu seperti MARA dan TERAJU di Pejabat MTEM, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Semua agensi yang melibatkan pembangunan bumiputera perlu diperkukuhkan dan diletakkan di bawah satu kementerian utama seperti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Presiden Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, agensi-agensi membabitkan agenda bumiputera tidak boleh lagi dipecahkan kepada pelbagai kementerian seperti sebelum ini.

Tambahnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak seharusnya terus diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) sekiranya kerajaaan benar-benar mahu membangunkan ekonomi bumiptera kerana fokus kementerian tersebut hanya tertumpu kepada aktiviti luar bandar sahaja.

Mara seharusnya mengorak langkah yang lebih kehadapan dengan memfokus kepada perniagaan dan aktiviti bercorak global yang seterusnya mampu mengangkat ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.

“Kami menyarankan Mara supaya diberi mandat yang lebih besar dan diiktiraf sebagai agensi utama bumiputera.

“Ia seharusnya diberi mandat untuk membangunkan syarikat tier 1 dan 2 dalam pasaran global supaya bakat-bakat Bumiputera dapat ditempatkan dalam syarikat antarabangsa,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Menurut Yazid, rekod kecemerlangan Mara dalam pelaburan telah dibuktikan dalam menggabungkan industru baharu di Malaysia sambil melindungi kepentingan Bumiputera contohnya dalam industri automotif dan aeroangkasa di negara ini.

Selain Mara, MTEM juga berpendapat peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu dikaji semula supaya dapat memberi impak yang lebih strategik dalam memperkasa Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan di luar ekosistem Mara.

“Kami mahu lihat Teraju diperkasa dan menjadi sehebat Pemandu.

“Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan ia perlu dilakukan secara betul kali ini,” tegasnya.

Menurut Ahmad Yazid, berdasarkan beberapa kajian, MTEM telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan Teraju yang menghalang agensi tersebut mencapai potensi sebenar.

MTEM katanya telah bercakap secara tidak rasmi dengan wakil-wakil kerajaan dan sedang menanti jawapan balas daripada pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi bagi mendapatkan tarikh untuk bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan isu-isu tersebut. – MalaysiaGazette