Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Penjualan tiket bagi perkhidmatan KTM Intercity dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang dibuka sehingga 10 Okt, akan dilanjutkan sehingga 14 Nov ini, menggunakan jadual sedia ada.

Menurut KTMB dalam satu kenyataan hari ini, penjualan tiket itu dilanjutkan berikutan kerja projek menaik taraf infrastuktur dan sistem Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) masih dalam fasa pelaksanaan.

“Tiket perjalanan bagi 1 hingga 14 Nov akan mula dijual pada 30 Ogos, bermula 8.30 pagi, manakala jualan tiket perkhidmatan tren shuttle Tebrau (JB Sentral – Woodlands – JB Sentral), kekal seperti biasa iaitu dalam tempoh 30 hari sahaja,” katanya.

Jumlah perjalanan kedua-dua perkhidmatan tren itu turut dikekalkan, iaitu sebanyak 49 perjalanan sehari bagi KTM Intercity dan 36 perjalanan sehari bagi ETS.

KTMB turut menyarankan agar penumpang perkhidmatan tren membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang menyambut perayaan Deepavali dan yang akan pulang ke kampung.

Maklumat lanjut dan jadual perkhidmatan KTM Intercity dan ETS boleh dirujuk di laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.- BERNAMA