MARA
Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM (YKPD) Yang DiPertua DPMM Negeri-Negeri, Datuk (Dr) Syed Ali Alattas bercakap pada sidang media oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM (YKPD) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkenaan nasib Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM 2 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- “Sekiranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) dipecah-pecahkan di bawah beberapa kementerian, ia ibarat tubuh yang dikerat-kerat anggotanya.

“Tangan di tempat lain, kaki di tempat lain, telinga di tempat lain yang tinggal hanya tubuh.

“Ya, tubuh tersebut masih boleh bernyawa namun cacat dan hilang fungsinya,” demikian analogi Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Ali Alattas.

Beliau mengulas cadangan kerajaan yang mahu agensi yang fokus di dalam pembangunan bumiputera itu dipecah-pecahkan dan diserap ke bawah beberapa kementerian.

Tegasnya, Mara sebagai sebuah agensi yang mempunyai rekod kejayaan cemerlang tidak seharusnya diganggu sebaliknya perlu diperkukuhkan bagi membantu lebih ramai kaum bumiputera di negara ini.

Ini dapat dilakukan apabila agensi tersebut diletakkan di bawah satu kementerian penting dan beliau mencadangkan supaya Mara diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Satu referendum akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

“Jika ia tidak rosak, kenapa perlu diusik?

“Memisahkan jabatan-jabatan di bawah Mara kepada pelbagai kementerian hanya akan menjahanamkan agensi yang selama ini telah lama berjaya membantu membangunkan agenda bumiputera.

“Tun Abdul Razak pernah berkata bahawa Mara adalah sebuah kerajaan di dalam kerajaan atau dalam kata lain adalah sebuah mini kerajaan.

“Perkara ini telah saya sampaikan secara peribadi kepada Perdana Menteri sendiri.

Apa yang patut kerajaan lakukan adalah menambah dana Mara supaya ianya lebih berdaya maju dan bukannya merosakkannya dengan memisahkan jabatan-jabatan di dalamnya,” kata Syed Ali lagi.

Beliau menambah, fungsi Mara akan terjejas apabila dipisah-pisahkan di bawah pelbagai kementerian kerana fokus yang telah berubah.

Tambah beliau, sejak penubuhannya, lebih 1.2 juta pelajar dan lebih satu juta usahawan telah berjaya menerusi program-program anjuran Mara manakala dana amanah pendidikan Mara ketika ini berjumlah RM1 bilion dengan RM500 juta daripadanya adalah hasil keuntungan.

Mara juga katanya, telah membantu lebih 200,000 pelajar dari semua peringkat setiap tahun. UniKL sendiri mempunyai 30,000 pelajar manakala Maktab Rendah Sains Mara mempunyai 50,000 pelajar.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

Tinggalkan Jawapan