Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Bekas calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan kekalahannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bukanlah penamat perjuangan parti itu dan UMNO.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, walaupun kalah namun beliau tidak melihat itu sebagai tanda BN sudah tewas.

Sebaliknya petanda kebangkitan BN selepas berjaya mengurangkan jumlah majoriti yang diperoleh PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

“Saya tidak kecewa kerana undi yang diterima oleh BN memberi isyarat bahawa parti itu dan UMNO masih relevan kepada rakyat dan pembangkang masih diperlukan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Pas yang memberikan sokongan dan saya berharap akan ada kerjasama lebih erat. PRK Sungai Kandis menjadi titik permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekalahannya dalam rakaman video malam tadi.

Lokman berjaya mendapat 9,583 undi, ditewaskan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang memperoleh 15,347 undi dengan majoriti undi sebanyak 5,765 undi.

Beliau menambah, peratusan keluar mengundi yang berkurangan ini juga jelas menunjukkan orang muda dan pengundi Cina kecewa dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Jelas beliau, ia kerana kegagalannya memenuhi janji PRU14 berikutan separuh daripada mereka tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Kalau pengundi yang duduk kerja di luar tak nak keluar mengundi kita faham tetapi pengundi tempatan ramai yang tidak mahu keluar mengundi.

“Saya yakin mereka sudah putus asa dan tidak percaya dengan kerajaan PH,” katanya. – MalaysiaGazette