Muhammad Hilman Idham. foto AFIQ RAZALI, 28 APRIL 2018.
Muhammad Hilman Idham. foto AFIQ RAZALI, 28 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Dengan teka teki dan pelbagai macam spekulasi berhubung jawatan yang bakal ditandingi oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih terus samar sehingga jam 4 petang ini.

Sehingga kini, calon Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum ada sesiapa yang ‘berani’ mencabar tulang belakang parti tersebut walaupun sebelum ini Azmin dikatakan akan bertanding jawatan itu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham bertegas dan amat yakin, Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak akan bertindak mencabar Anwar Ibrahim.

Hilman yang merupakan Setiausaha Politik kepada Azmin yakin pemimpin itu akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandangnya sahaja.

“Tidak ada sesiapa yang begitu setia dengan kepimpinan Anwar Ibrahim selain daripada Azmin Ali. Itulah kebenarannya.

“Tiada yang lebih setia kepada beliau. Saya juga diberitahu beliau masih di Singapura kerana mesyuarat penting tetapi akan menghantar wakil pada pukul 4.30 petang ini.

“Sebenarnya saya tidak tahu apa keputusan beliau, tetapi saya yakin beliau tidak tentang Anwar,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Gandingan Anwar dan Azmin, kata Hilman, satu kombinasi yang mantap dan boleh dikatakan sukar ditewaskan.

Hilman akan bertanding untuk jawatan Angkatan Muda Keadilan (AMK). – Malaysia Gazette