Allahyarham Ishak Nengah

KUALA LUMPUR – Bapa kepada penyanyi rap, Joe Flizow meninggal dunia akibat penyakit barah hidung di Hospital Universiti, Petaling Jaya hari ini.

Allahyarham Ishak Nengah yang juga bekas personaliti televisyen itu meninggal pukul 12.35 tengah hari tadi.

Ishak, 65 tahun, dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Universiti sekitar jam 3 pagi tadi selepas mengalami kesukaran bernafas.

Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya, Selangor dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar.

Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham Ishak pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar kumpulan The New Straits Times Press dari tahun 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di syarikat penyiaran swasta TV3 tidak lama selepas itu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Aishah Ali dan tiga orang anak, Johan (Joe Flizzow), 38 tahun, Ashraf, 35 tahun, dan Iman, 28 tahun.- MalaysiaGazette