Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti dijanjikan kerajaan semasa pilihan raya sedang berdepan tiga halangan iaitu prasangka kaum, salah faham tentang UEC dan politik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, selain prasangka antara kaum, isu UEC juga dipolitikkan secara keterlaluan.
Menurutnya, salah faham yang wujud mengenai UEC juga menyebabkan peperiksaan yang diadakan di sekolah-sekolah swasta Cina itu berdepan halangan untuk diiktiraf.
Nie Ching berkata, seorang pegawai pendidikan keturunan Cina di Kelantan pernah memberitahu bahawa dia tidak menyokong pengiktirafan UEC kerana sekolah swasta hanya memperuntukkan dua masa dalam seminggu untuk subjek Bahasa Melayu.
Pegawai itu, kata Nie Ching, juga berpendapat bahawa sekolah swasta Cina dihadiri anak-anak orang kaya yang membayar yuran sekolah RM1,000 sebulan.
Kata Nie Ching, semua anggapan tersebut adalah tidak benar.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan sedang menerima maklum balas berlainan dan mendengar suara berbeza mengenai UEC.
“Mendengar adalah sangat penting, kami tidak mahu mekanisme kerajaan terdahulu yang mengabaikan pendapat orang lain.
” Kami juga memerlukan masa untuk membenarkan orang ramai memahami UEC,” katanya kepada China Press.
Walaupun hanya sebulan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, Nie Ching yakin pasukan Pakatan Harapan yang kuat akan menjadikan beliau lebih cemerlang berbanding dua bekas timbalan menteri terdahulu daripada MCA iaitu Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Chong Sin Woon.
Nie Ching turut mendedahkan bahawa lima sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang diluluskan pemindahan ke kawasan tumpuan penduduk oleh kerajaan terdahulu belum disiapkan manakala ramai sekolah dalam keadaan yang teruk dan memerlukan penyelenggaraan.
Katanya, projek-projek yang diharapkan tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan duit. – MalaysiaGazette