Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar bercakap kepada media selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini merompak dana GST bernilai RM18 bilion di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menafikan dakwaan wujudnya rompakan dana awam bernilai RM18 bilion.

Beliau berkata, dakwaan rompakan yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu sebenarnya tidak berasas kerana dana awam itu masih ada dalam simpanan kerajaan dan bukannya dicuri oleh mana-mana pihak.

“Perkara itu tidak berasas (dakwaan itu) sebab dana itu (RM18 bilion) itu tidak hilang, cuma masuk dalam dana disatukan (consolidated fund).

“Saya sendiri buat laporan berkenaan RM18 bilion yang tidak benar itu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika beredar dari ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar bercakap kepada media selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini merompak dana GST bernilai RM18 bilion di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018

Beliau mengulas dakwaan Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rabu lalu, Guan Eng ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Mohd Irwan juga berkata, selepas laporan SPRM itu dibuat, beliau bercadang untuk membuat laporan sama kepada pihak polis supaya dakwaan berat itu disiasat dengan telus sebelum menghukum mana-mana pihak.

“Saya beri keterangan setengah jam hari ini. Hari ini saya juga buat laporan kepada SPRM dan petang ini mungkin saya akan buat laporan polis.

“SPRM berjanji kepada saya untuk menyiasat perkara ini dengan segera,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menyerahkan sebarang dokumen sokongan kepada penafian itu, beliau bagaimanapun mahu pihak berkuasa memperolehnya daripada Kementerian Kewangan.

“Dokumen sokongan semua dengan Kementerian Kewangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan